biodata

Sunday, October 21, 2012

terapi berfikir positif


Seorang murid al-Hakim Zaynu sering mengeluh tentang apa sahaja dan di mana sahaja. Kesannya, ramai orang menjauhinya. Tinggallah dia seorang diri. Dia juga mengeluhkan persoalan yang dihadapi kepada Zaynu. Dia mengatakan bahawa orang-orang cemburu dan dengki padanya. Al-Hakim Zaynu meminta pemuda itu pergi bersamanya. Saat berjalan bersama, mereka tiba di jalan yang gelap.

Zaynu meminta pemuda itu melaluinya. Dia tentu terkejut dan bertanya, “Mengapa aku harus melalui jalan yang gelap ini? Mengapa bukan jalan yang terang supaya aku dapat mencapai tempat yang ingin dituju?”
Zaynu malah mengulangi kalimat yang sama, “Lalui jalan ini, aku akan menemuimu dari jalan yang lain.”
Setelah berkata demikian, Zaynu meninggalkan pemuda itu seorang diri. Pemuda itu mulai menempuh perjalanan di jalan tersebut. Benar-benar gelap dan tidak dapat melihat apa pun. Bahkan dia tidak dapat melihat tangan dan kakinya sendiri. Sepanjang perjalanan dia bertanya-tanya, “Mengapa Zaynu meminta aku melalui jalan ini? Apakah ini ujian atau kerana sudah tua, dia jadi tidak menyedari apa yang diucapkannya?”
Ketika berfikir seperti itu, tiba-tiba dia melanggar tembok yang ada di depannya. Dia teriak kesakitan dan merasa amat geram. Dia menjauhi tempat itu menuju ke tempat yang lain. Namun dia tetap tidak tahu ke mana arah keluar dari kegelapan ini. Dia juga sudah tidak tahu dari arah mana dia datang. Pemuda itu mula ragu. Akhirnya dia berpatah balik. Dia marah pada Zaynu. Dia juga berfikir banyak hal negatif yang mungkin terjadi hingga dia melanggar tembok lagi. Dia berteriak dan memaki Zaynu. Dia mencelanya kerana telah menempuh jalan lain. Bahkan dia menyalahkan dirinya sendiri kerana mendengarkan kata-kata Zaynu.

Tidak lama kemudian, dia terjerumus ke lubang yang dalam. Dia berteriak dan mengerang kesakitan. Dalam keadaan terbakar amarah, dia mengumpat dan memaki Zaynu. Dia berusaha keluar tetapi tidak boleh kerana lubang itu cukup dalam. Dia menangis dan tidak ada yang dapat dilakukannya selain duduk menyesali diri. Dia benar-benar kecewa hingga pengsan.
Setelah sedar, dia berteriak sekuat-kuatnya meminta pertolongan. Tidak seorang pun mendengar teriakannya. Harapannya untuk dapat kembali pulang pun pupus. Tidak lama kemudian, dia melihat secercah cahaya datang mendekat. Dia gembira sekali dan teriak sekuat tenaga meminta bantuan. Ternyata, orang yang berdiri di hadapannya adalah al-Hakim Zaynu. Dia membantu pemuda itu keluar dari jurang lalu membimbingnya keluar dari kegelapan.

Di hujung jalan, pemuda itu menghentikan langkah Zaynu dan bertanya, “Aku ingin tahu, mengapa engkau lakukan ini padaku?”

Zaynu tidak menjawab. Kerana merasa tidak diacuhkan, pemuda itu marah. Dia kembali bertanya, “Mengapa engkau lakukan ini padaku?”

Kali ini Zaynu pula bertanya, “Apa yang boleh engkau petik sebagai pelajaran dari pengalaman ini?”
Dengan kesal pemuda itu berkata, “Sejak hari ini, aku tidak boleh mendengarkan ucapan orang lain atau percaya.”

Zaynu menghayunkan langkahnya tanpa komentar. Tiba-tiba pemuda itu menghalang dan berkata, “Aku tahu ada pelajaran yang boleh diambil dari peristiwa yang aku alami. Ku mohon engkau memaafkan kerana aku teramat menderita di jalan itu. Untuk itu, ku mohon engkau mengajariku dan menasihatiku.”
Dalam pada itu Zaynu berkata, “Inilah yang seharusnya engkau ambil sebagai pelajaran, wahai pemuda. Ya, ini dia pelajarannya. Caramu bertanya yang terakhir itulah yang mendorongku untuk memberi jawapan. Sebab, cara itulah yang santun dan positif, juga mempunyai tujuan yang boleh engkau ambil manfaatnya. Jalan gelap yang kuminta engkau lalui menggambarkan fikiran negatifmu. Tembok yang engkau langgar tidak lain adalah buah fikiran negatifmu. Jurang yang engkau terjatuh ke dalamnya juga hasil dari fikiran-fikiran negatifmu yang lain.”

Setelah berkata demikian, Zaynu mendekati pemuda tersebut. Sambil menatap tajam bola matanya, dia berkata,

“Beginilah fikiran negatif itu, wahai pemuda. Fikiran negatif menjadikan seseorang tidak dapat melihat jalan yang terang. Dia lebih memilih jalan gelap di mana dia tidak menemukan jalan keluar dan melanggar sesuatu yang menyakitkan. Selain itu, dia merasa tidak bererti, gagal, sakit, marah dan segala sesuatu yang negatif yang sesuai dengan jalan fikirannya. Kerana itu, jika benar-benar ingin menjadi orang yang bijaksana, engkau harus sedar betul bahawa di dalam dirimu ada musuh besar iaitu fikiranmu yang negatif. Ketika engkau tahu cara menguasainya, ia akan berpihak kepadamu. Sama seperti kuda yang terlepas kendali: ia boleh membunuhmu dengan satu tendangan. Tetapi, jika engkau mengajarinya, ia akan menjadi sahabat yang bermanfaat. Ingat, fikiranmu itu adalah perbuatanmu sendiri. Tidak seorang pun di muka bumi ini dapat mengubahnya untukmu. Jadi, engkaulah satu-satunya orang yang dapat mengubah dan menjadikannya berpihak kepadamu serta membantumu agar tetap stabil dan meraih kebahagiaan.”

Sesungguhnya fikiran negatif lebih berbahaya dari yang kita bayangkan. Ia merangkai hidup ini menjadi mata rantai penderitaan, perasaan negatif, perilaku negatif dan hasil yang negatif seperti sakit jiwa, sakit fizikal, kesepian dan ketakutan. Saya melihatnya seperti gigitan ular; sangat menyakitkan tetapi tidak menyebabkan kematian. Yang menyebabkan kematian adalah racun yang mengalir mengikuti peredaran darah. Begitu pula halnya dengan fikiran negatif; ia hanya bisikan yang muncul dalam diri seseorang. Yang membahayakan adalah pengulangan dan penumpukan fikiran dalam memori hingga menjadi kebiasaan yang dilakukan seseorang dalam hidupnya. Itulah yang menyebabkan penderitaan tidak berakhir.

Fikiran negatif mencari dan memikirkan hal-hal negatif yang terjadi pada masa lalu, kemudian menimbulkan rasa cemas dan menumbuhkan rasa takut menghadapi masa depan. Jika sudah demikian, hidup akan diwarnai oleh perasaan dan keyakinan negatif hingga menimbulkan berbagai-bagai masalah. Dan orang yang berfikir secara negatif memiliki kekuatan imaginasi untuk masuk ke dalam berbagai-bagai hal negatif, kendati berhadapan dengan sesuatu yang positif.

Apakah anda mengenal orang yang memiliki pola fikir seperti ini? Sejatinya kita semua pernah berfikir negatif. Dalam keadaan seperti ini, sebahagian orang berusaha mengubahnya dengan tawakkal kepada Allah. Dan dari Dialah, dia mendapatkan jalan keluar. Ada sebahagian orang yang membiarkan fikiran negatif itu berkembang. Akibatnya, anda akan melihat sebahagian besar hidupnya berisikan penderitaan dan kesulitan. Jika mendapatkan kebahagiaan, orang seperti ini justeru mencurigainya. Malah, kemudian muncul masalah baru.

No comments:

Post a Comment