biodata

Tuesday, October 2, 2012

Siapa Ahlul Fatrah. Ibu Bapa Rasul SAW Ahli Neraka Ke?


Transkrip Penghinaan Ustaz Dr. XXXXXX
Terhadap Ibunda Sayyiduna Muhammad SAW.
Dalam Program Tafsir Al-Quran Siri 172 di Radio IKIM.FM Pada 10 Ogos 2011.
Jam 0630pagi-0645pagi.

Tuan-Puan yang dikasihi, jawablah dengan ikhlas persoalan-persoalan ini, dan bacalah dengan iktiqad keyakinan bahawa tiada kecintaan hakiki daripada seseorang kepada kita, melainkan cintanya Sayyidina Muhammad SAW kepada kita dengan sesungguhnya. Maka, apakah agaknya yang dirasai oleh Sayyidina Muhammad SAW apabila ucapan-ucapan yang menghiris hati ini dilafazkan ke atas Baginda SAW. 

Soalan :

  1. Ilmu bukan diambil melalui popularnya Ustaz/ memiliki PHd/ kerap muncul di TV/ Radio yang tinggi statistik para pengunjung di blognya. Tetapi ilmu diperolehi melalui talaqqi yang mana ilmu yang tuan puan miliki sanadnya sampai kepada Sayyiduna Rasulullah SAW. Bilamana tiada, maka mulut menjadi celupar menyatakan Ayahnda & Ibunda Sayyiduna Rasulullah SAW kufur...Naudzubillahi miinzaliik. Setuju?
  2. Apakah perasaan anda apabila ada manusia yang terkenal / memiliki pHD mengatakan Bonda Rasulullah SAW kufur? Naudzubillahi minzaliik.
  3. Sanggup anda pertahankan Baginda SAW walaupun manusia yang menyatakan itu adalah seorang tokoh yang terkenal? Kerap keluar di televisyen/radio? Bahkan dia dijadikan rujukan kerana kepetahannya berkata-kata?
  4. Tuan-Puan pernah mengaji akan bab ahlul Fatrah?
  5. Apa agaknya perasaan Tuan-Puan apabila ibubapa tuan-puan dikatakan kuffar?
  6. Tidakkah mereka memahami perasaan seorang anak andainya kedua orangtuanya dicerca & dicaci? 
Ini isu yang harus dipandang berat iaitu memberikan fakta yang salah berkenaan ibubapa Rasul SAW sebagai kafir dan berada di neraka. Jenayah ini sama sahaja seperti menerbitkan filem menghina Rasulullah SAW. Kita ingatkan yang bukan Islam sahaja yang hina Rasulullah, yang cerdik pandai dalam Islam pun menghina kekasih Allah ini.  Sikap kutuk mengutuk, kafir-mengkafir ini memang 'makanan' golongan Wahabi pun. Tunggulah azab Allah yang mendatang sebagaimana disebut di dalam al-Quran:


                                

Sesungguhnya (terhadap) orang yang menyakiti Allah dan Rasul-Nya, Allah akan melaknatnya di dunia dan di akhirat dan menyediakan azab yang menghinakan bagi mereka. (Surah al-Ahzab: 57)

Apakah dengan mengatakan ibubapa Nabi sebagai kafir dan masuk neraka tidak dikira menyakiti Rasul? Menurut ustaz Taha Ibnu Hassan Al-Qusyasyi, panel syariah di Inteam Publishing bahawa lebih daripada 50 kitab yang menerangkan bahawa ibu bapa Rasul SAW berada di syurga. Isu ini sudah pun selesai dibahaskan oleh ulamak muktabar. Salah satunya kitab turath berjudul “At-Ta'zim wa al-Minnah fi anna Abawaiya ar-Rasul Fil Jannah” (Kemuliaan dan Kurniaan bahawa Ibu Bapa Rasulullah di dalam Syurga) karangan seorang alim, yang disegani ilmunya iaitu al-Hafiz al-Imam Jalaluddin Abd Rahman As-Suyuti terbitan Dar Jawami' Al-Kalim, jelas menyatakan (di mukasurat 13), ibubapa Rasul adalah ahli syurga setelah dihidupkan semula dan mereka berdua beriman dengan Nabi SAW. Kitab ini menerangkan dalil-dalil kukuh dengan hujah-hujahnya yang kuat.  Ada satu hadis yg dinyatakan di dalam kitab tersebut, yang dikenali dengan "al-hadis al-Ihya" - hadis yg diriwayatkan oleh Ibn Syahin dalam kitabnya, "An-Nasikh Wal-Mansukh" daripada Aishah r.ha yang melihat Rasulullah pulang dalam keadaan gembira dari Hajuun (lokasinya di Mekah) - tempat Aminah dimakamkan (namun, pendapat masyhur ulama mengatakan dimakamkan di Abwa' {lokasinya di antara Mekah dan Madinah}. Walaubagaimanapun, mereka sepakat mengatakan asalnya dimakamkan di situ, kemudian berpindah dan dimakamkan semula di Hajuun). Rasulullah memohon kepada Allah SWT menghidupkan ibunya (Aminah) di Hajuun dan Allah telah menghidupkannya (Aminah) untuk Nabi lalu beriman dan kemudian mematikannya semula. (ms. 3-4). Saya yakin isu ini sudah pun selesai dibahaskan. Full Stop!! cuba buka video di bawah ini. jika bekas minuman Rasulullah begitu dimuliakan, apatah lagi Ibu Bapa Baginda SAW. Lebih-lebih lagi sepatutnya dimuliakan. Saksikanlah! https://www.facebook.com/pages/Aku-Sayang-Rasullullah/360443954036748?sk=app_281044825341735&state=35002ebd02c787b3c43378628e456700&code=AQBQTO8xcpMzyi_b1rKecuRhxvhh3OMZlLGvua5VEa4UWcNkjddUxJmk1L4xun8tF-2K1eDt0Le04P0doD89yMOoNr_c2OoVKrT4x3AwJ4pQSukbmjk9bUUuaE4j5ZuRcmhiDbdcIOA8lBt63RGMmg7onlRIWNlSfMVeF8cJjClCNcDzOeXHwHpsdQYXxqBW-tR795CHhb1aEWFqE4PFc_D9#_=_

Malangnya, menurut seorang penceramah bebas yang tersohor, bahawa Rasul SAW menerima hidayah pada umur 40 tahun. Kalau Rasulullah SAW baru menerima hidayah pada usia 40 tahun, bermakna sebelum itu samada Baginda kufur lagi sesat atau seorang yang banyak melakukan maksiat? Untuk mencari jawapan, cubalah layari 
http://www.youtube.com/watch?v=3OYDOFLICJg&feature=relmfu
http://www.youtube.com/watch?v=qUzW3poJ8Yc

Di bawah ini adalah teks yang saya perolehi dari sebuah blog daripada ceramah Dr XXXXXXX yang berbicara tentang ibubapa Rasul sebagai kafir dan masuk neraka di sebuah stesyen radio Islam tempatan.


Asalammualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh..
Bacaan hadith.
Saudara penerbit.....
Kita menyambung surah Attaubah pada ayat 113 dan 114
“Tidaklah dibenarkan bagi Nabi dan orang-orang yang beriman, meminta ampun bagi orang-orang musyrik, sekalipun orang itu kaum kerabat sendiri, sesudah nyata bagi mereka bahawa orang-orang musyrik itu adalah ahli neraka Jahim.” [At-Taubah 113]

“Dan bukanlah istighfar Nabi Ibrahim bagi bapanya (dibuat) melainkan kerana adanya janji yang dijanjikan kepadanya; dan apabila ternyata kepada Nabi Ibrahim bahawa bapanya musuh bagi Allah, ia pun berlepas diri daripadanya. Sesungguhnya Nabi Ibrahim itu lembut hati lagi penyabar.” [At-Taubah 114]

Mintalah ampun kepada ALLAH bagi orang-orang musyrik, walaupun orang musyrik itu merupakan kaum kerabatnya dan sesudah jelaslah kaum-kaum musyrik itu penghuni neraka jahanam.

Dan permintaan ampun dari Ibrahim kepada ALLAH untuk bapanya tidak lain adalah sebagai janji daripada Ibrahim yang diikrarkan kepada bapanya itu. Maka tatkala jelas kekufuran nyata bapanya itu, maka Ibrahim berlepas diri darinya. Sesungguhnya Ibrahim sangat lembut hatinya lagi penyantun.

Saudara pendengar yg dirahmati dan dikasihi ALLAH sekalian. Ini merupakan satu ayat yang memberi fokus kepada perkara yang namanya istighfar.

Dalam kuliah-kuliah ayat terdahulu bagaimana Nabi Muhammad SAW ditegah daripada memohon keampunan kepada golongan musyrikun yang nyata kesesatannya.

Berkata, dalam sebuah riwayat dari Imam ahmad dari Ibnu Musayat dari ayahnya ketika abu talib ketika matinya masuk Rasulullah dan disisi Abu Talib ada Abu Jahal dan Abdullah Abi Umayyah Nabi bersabda Ya Abi Talib, Wahai pakcik ucapkanlah Lailahaillah, satu kalimah yang dengannya aku mampu membelamu dihadapan ALLAH SWT.

Maka Abu Jahal dan Abdullah Abi Umayyah yang berada disitu telah bersama-sama telah mencegah Abu Talib daripada mengucap agama tauhid. Adakah kamu ni benci dengan agama moyang kita Abu Mutalib. Adakah engkau cuba mencari agama lain daripada datuk kita.

Akhirnya Abu Talib berkata, aku akan tetap berada dalam agamanya Abd Muttalib. Jadi Nabi SAW telah bersabda aku akan terus meminta keampunan untukmu selama aku tidak dilarang melakukannya, lalu ALLAH telah menurunkan ayat yang sedang kita bincangkan ini [ayat tersebut surah at-taubah].

Tidak sepatutnya bagi Nabi dan orang-orang beriman meminta keampunan kepada ALLAH bagi kaum musyrikun walaupun kaum musyrikun itu adalah kaum kerabatnya sudah jelas kaum musyrikun itu penghuni neraka. Lalu apabila turun ayat ini saudara yang dimuliakan ALLAH sekalian.

Ayat yang berikutnya sesungguhnya engkau tidak akan beri hidayah kepada sesiapa yang dikasihi wahai Muhammad tetapi ALLAH yang memberi petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakinya [surah al-Qasas] Riwayat Imam Bukhari dan Muslim.

Dalam riwayat Ibnu Tajari dari Sulaiman Abi Ubaidah. Nabi sampai ke Makkah, Nabi melalui satu kawasan kuburan, Nabi duduk dan berdoa, bila Nabi bangkit daripada doa, keadaan Nabi dalam keadaan bersedih. Kami bertanya kenapa wahai Nabi kami melihat Nabi menangis, kenapa wahai nabiNabi telah pun menjawab, aku telah minta izin kepada ALLAH untuk menziarahi kubur ibuku, lalu ALLAH mengizinkanku, dan aku meminta kepada ALLAH untuk berdoa untuk keampunan kepadanya. Lalu ALLAH tidak mengizinkan kepada ku untuk memohon keampunan bagi orang yang mati kafir.Jadi Nabi SAW kelihatan menangis dengan sedih. Al-Afi menitipkan larangan bagi orang beriman dari mendoakan bagi orang kafir.

Bahawa Nabi ingin minta keampunan bagi ibu Nabi SAW. Lalu ALLAH melarang, Lalu Nabi SAW telah bertanya, Sesungguhnya, Nabi Ibrahim, seorang khalilullah, sahabat ALLAH dan dia pernah meminta ampun bagi bapanya.

Ali bin Abi Talhah meriwayataan daripada Ibnu Abbas Radhiallahuanhuma. Tetapi bila turun ayat yang sedang kita bincangkan mereka telah menghentikan meminta ampun kepada kerabat mereka yang telah mati, tetapi mereka tidak dilarang memohon keampunan bagi kerabat-kerabat mereka yang masih hidup sampailah mereka mati. ALLAH turunkan ayat 113 dan 114 attaubah tersebut.

Apabila jelas kepada Ibrahim , bapanya adalah musuh ALLAH, maka Ibrahim pun berlepas diri darinya. Disini Ibnu Abbas RA, berkata Ibrahim terus menerus meminta ampun bagi bapanya sehingga dia mati. Tapi bila telah nyata ayahnya mati kafir dan dalam keadaan memusuhi agamanaya,maka dia berhenti dari berdoa.

Tapi apabila diketahui bapanya mati dalam keadaan kafir dalam keadaan memusuhi agamanya maka dia berhenti mendoakannya maka. Juga pandanga Jadi Ubait bin ubait , berkata Nabi Ibrahim A.S berlepas diri daripada ayahnya sehinggalah Nabi Ibrahim bertemu ayahnya di akhirat dalam keadaan pada wajah ayahnya berdebu, ayahnya berkata sekarang aku nak menuruti kehendakmu anakku, menuruti perintahmu dakwahmu. Wahai ALLAH bukankah Engkau telah berjanji takkan menghinaku pada akhirat tidak ada yang lebih menghinakanku melainkan kehinaan bapaku.

Nabi Ibrahim berkata kepada ALLAH, tidak lebih menghinakanku melainkan engkau menghina ayahku, maka berkata ALLAH kepada Nabi Ibrahim A.S, lihatlah engkau kebelakang wahai Ibrahim, maka dilihatnya seekor dabuk [anjing hutan yang banyak bulunya] yang berlumuran darah, maka dabuk ini diseret dan dilemparkan kedalam neraka untuk mengurangkan rasa sedih yang dialami oleh Nabi Ibrahim.

ALLAH nak mengurangkan stress seorang nabi yang melihat akan bapanya dibakar, maka ALLAH menukarkannya kepada dabuk. Daripada Abdullah Bin Mas’ud, alawah ini maksudnya banyak berdoa, Nabi Ibrahim seorang yang banyak berdoa kepada ALLAH SWT, Nabi Ibrahim seorang yang hebat, “business man” yang hebat, hartanya banyak, banyak berdoa.

Setiap kali masuk kekebun, dia akan solat sunat dhuha dahulu. Siapa yang susah diringankan. Tidak akan makan melainkan dengan tetamu. [bunyi telefon Ustaz Dr. XXXXXXX] Dia amat menjaga kebajikan pekerjanya. Ada juga yang mengatakan awah ini amat penyayang. Ada yang menyatakan yakin.

Saudara yang dirahmati dan dikasihi sekalian, ada yang menyatakan awah ini menurut Imam Suyuti dalam Durur Mansur awah ini orang yang banyak bertasbih kepada ALLAH SWT dan banyak lagi riwayat yang menceritakan Nabi Ibrahim. Nanti kita lihat bagaimana Nabi Ibrahim meminta kepada ALLAH dengan doanya : Ya ALLAH tunjukkan kepadaku bagaimana mahu dihidupkan orang yang telah mati ini. ALLAH memuji orang-orang beriman, ALLAH jelaskan ada 8 kriteria, masuk lagi perincian, bahawa orang-orang yang beriman yang kedudukan tinggi disisi ALLAH SWT ini tidak akan memohon keampunan bagi orang-orang kafir.

Ayat 114 memutuskan yang berjual beli tidak akan melakukan.

Orang-orang yang dikasihi oleh ALLAH ini tidak akan memohon keampunan bagi orang-orang kafir. Maka terputus darah kerana tiada kesatuan iman. Ini diulas oleh Syed Qutub dalam Fizilalil Quran.

Dapat kita lihat disini janji ALLAH ini pasti oleh ayat lalu tentu sahaja mengiuran kaum musyrikin jadi bagi menghapuskan yang ada dibenak mereka, ataupun dibenak muslimin, jika Rasulullah boleh mendoakan bagi keluarganya dikalangan orang kafir, maka barangkali boleh ALLAH beri keampunan. Ayat ini menyatakan tidak patut sama sekali, tidak boleh sama sekali, bahkan tuan-puan, tidak boleh, bukan tidak boleh bagi orang beriman tetapi bagi ketua orang beriman yakni Rasulullah SAW.

Bahkan Rasulullah SAW yang telah mencapai kedekatan dengan ALLAH SWT tidak boleh memohon keampunan bagi ibu Nabi pun tidak boleh Baginda SAW memohon keampunan kepada ALLAH SWT. Kita boleh lihat bagaimana kisah Abdullah Bin Ubai Bin Salul, yang kita bincangkan sebelum ini pada ayat 84 dan 85, apabila dia meminta ayahnya dipakaikan jubah Nabi SAW untuk mendapatkan syafaat Nabi SAW. Saudara, Imam Ar Razi, menyatakan dalam kitab tafsirnya alfatih ghoib, dengan menghubungkan ayat ini dengan ayat awal mengenai berlepas diri daripada rang-orang kafir, walaupun sikafir ini merupakan sanak saudara, ini ayat yang kita bincangkan bagi orang yang telah mati walaupun sikafir merupakan sanak saudara ini telah meninggal dunia. Ya kita kena raikan, penuhi hajat mereka didunia, selagi tidak bercanggah dengan kehendak ALLAH. tetapi setelah mati, tiada lagi doa bagimu.

::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::

Kes 2

Jawapan balas oleh Panel Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan JAIS, ketika menjawab tuduhan Ustaz Farid Ravi di dalam tulisannya dalam salah buah akhbar arus perdana. (ni cerita lama. Sekarang ni ustaz Farid dah ok dah! Bukan lagi berfahaman seperti Wahabi):

PANDANGAN MENGENAI STATUS IBU BAPA NABI MUHAMMAD SAW MATI
DALAM KEADAAN KAFIR ATAU SEBALIKNYA

ISU DAN MASALAH

Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah menerima surat aduan bertulis mengenai status keislaman ibu bapa Nabi Muhammad SAW yang disiarkan dalam sebuah akhbar tempatan bertarikh 30 April 2010 (Jumaat). Persoalan tersebut telah dijawab secara panjang lebar oleh seorang pendakwah dari sebuah IPTS. Dengan menggunakan hujah beberapa hadith, pendakwah tersebut menyimpulkan bahawa ibu Nabi (Aminah) dan bapa Nabi (Abdullah) mati dalam keadaan bukan dalam Islam dan kedua-duanya akan masuk api neraka dan diazab.

Berikutan penjelasan isu di atas, ianya telah menimbulkan sensitif di kalangan umat Islam dan terdapat rungutan supaya jawapan tersebut dikaji semula.Berikut adalah sanggahan terhadap isu tersebut.

PENJELASAN MENGENAI HADITH BERKAITAN BAPA NABI DI DALAM NERAKA

Berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Muslim dengan lafaz:

Daripada Hammad ibn Salamah daripada Thabit, daripada Anas ibn Malik r.hu: “Sesungguhnya seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah SAW, "Wahai Rasulullah! Di manakah bapaku?" Rasulullah SAW menjawab, "Di dalam neraka." Tatkala lelaki tersebut berpaling, Rasulullah SAW memanggilnya lalu berkata, "Sesungguhnya bapaku dan bapamu di dalam neraka.”

Keterangan daripada pendakwah tersebut menterjemahkan maksud lafaz hadith secara harfiah: “Sesungguhnya bapaku dan bapamu di dalam neraka.” Tanpa meneliti dengan lebih mendalam pelbagai disiplin ilmu, maka dengan tergesagesa beliau menyatakan bahawa ayahanda Nabi mati dalam kekufuran.

Bahagian Penyelidikan & Pembangunan, JAIS menyanggah pandangan tersebut di atas. Jika diteliti dalam kesepakatan para ahli hadith, mereka mengesahkan bahawa lelaki yang bertanya kepada Rasulullah SAW itu ialah seorang A’rabi (Badwi). Pendapat ini disepakati berdasarkan hadith yang menceritakan kisah yang sama, yang diriwayatkan oleh Mu’ammar daripada Thabit. Tetapi, perbezaan di antara kedua-dua jalan ialah hadith yang diriwayatkan melalui jalan Mu’ammar tidak mempunyai lafaz:

إِنﱠ أَﺑِﻲوَ أَﺑَﺎكَ ﻓِﻲاﻟﻧﱠﺎرِ

Maksudnya : “Sesungguhnya bapaku dan bapa kamu di dalam neraka.”

Berdasarkan maksud hadith berkenaan jelaslah bahawa lafaz di atas tidak disepakati oleh para perawi hadith.

Hadith yang diriwayatkan oleh Mu’ammar tanpa lafaz tersebut lebih diyakini dari aspek riwayat dan lafaz, menurut ahli hadith, Mu’ammar adalah seorang yang lebih terpelihara hafazannya dan dia tidak menerima sebarang kritikan dari ulama Jarah dan Ta’dil. Tambahan lagi al-Bukhari dan Muslim bersepakat dalam menyatakan keyakinan mereka terhadap Mu’ammar. Ini berbeza dengan situasi Hammad yang hanya diyakini oleh Muslim tetapi tidak di sisi al-Bukhari.

Katakanlah lafaz Hammad ibn Salamah dalam Sahih Muslim di atas adalah dari lafaz Nabi SAW sendiri, maka ia tidak juga boleh dijadikan sandaran dalam menghukum kekufuran ayah Nabi SAW kerana ‘illah dari aspek matan menunjukkan bagaimana Rasulullah SAW menggunakan teknik dan kaedah yang membawa erti kesamaran supaya keadaan menjadi lebih tenang dan terkawal. Rasulullah SAW menggunakan lafaz persamaan kedudukan bagi kedua-dua bapa untuk tujuan-tujuan tertentu.

Di antaranya:

a) Tujuan menyemarakkan semangat mendalami ajaran Islam.

Apabila Rasulullah SAW menyatakan persamaan kedudukan kedua-dua bapa mereka di dalam neraka, wujud persamaan dan tautan hati lelaki A’rabi terhadap Rasulullah SAW dan lebih bersemangat untuk mendalami ajaran Islam.

b) Tujuan mengelak kontroversi ke agama asal.

Sekiranya Rasulullah SAW menyatakan bahawa bapa A’rabi tersebut di dalam neraka, sedangkan bapa Baginda SAW di dalam syurga, maka lelaki A’rabi itu akan merasakan jurang perbezaan di antara mereka berdua dan dikhuatiri perkara ini akan menyebabkan lelaki A’rabi tersebut menjauhi Islam serta kembali murtad.

c) Tujuan menang-menang.

Sekiranya Rasulullah SAW membezakan kesudahan bagi kedua-duanya, dikhuatiri lelaki A’rabi yang terkenal dengan sikap degil dan keras hati akan mengeluarkan kata-kata sumpahan dan cacimaki terhadap Rasulullah SAW yang bakal mengundang laknat dan kemurkaan Allah SWT.

d) Tujuan dakwah secara bijaksana.

Teknik yang dilakukan oleh Rasulullah SAW bertujuan untuk mengelakkan fitnah dan sebarang kejadian yang tidak diingini terhadap kaum A’rabi dan kaum kerabatnya. Ini juga bertujuan untuk menarik lebih ramai kaum kerabat lelaki A’rabi tersebut memeluk Islam.

Sekiranya dikaji dengan lebih luas lagi, terdapat banyak lafaz-lafaz dari hadith Nabi SAW yang menunjukkan gaya kaedah sebegini. Kerana Nabi SAW adalah seorang yang bijak dalam berdakwah dan berbicara dengan manusia sekadar mana pencapaian akal para pendengarnya.

Apabila berurusan dan berbicara dengan orang Arab Badwi, maka mu’amalah Nabi S.A.W. lebih lembut, mengalah, bertolak ansur dan lunak berbanding dengan mereka yang telah lama memahami serta mendalami Islam.

Selanjutnya jika dikaji secara teliti, terdapat pandangan daripada Hafiz al-Suyuti mengatakan bahawa hadith sahih yang diriwayatkan oleh Imam Muslim ini diriwayatkan oleh Hammad ibn Salamah dengan makna, bukan dengan lafaz.

Manakala lafaz itu berbunyi :
إِنﱠ أَﺑِﻲوَ أَﺑَﺎكَ ﻓِﻲاﻟﻧﱠﺎرِ

Ianya merupakan lafaz yang tidak disepakati oleh para perawi dari jalan hadith yang lain. Berdasarkan riwayat Mu’ammar daripada Thabit pula, tidak kedapatan lafaz di atas, akan tetapi diriwayatkan dengan lafaz yang lebih umum.

Dalam riwayat yang lain, dikeluarkan oleh al-Bazzar dalam Musnadnya dan alTabrani di dalam kitab al-Mu’jam al-Kabir dengan sanad rijal yang sahih,daripada Sa’ad ibn Abi Waqqas:

Maksudnya, “Sesungguhnya seorang A’rabi datang bertemu Nabi SAW lalu bertanya, "Wahai Rasulullah! Di manakah bapaku?" Rasulullah SAW menjawab, "Di dalam neraka." Maka lelaki Badwi tadi bertanya pula, "Di mana pula bapamu?" Rasulullah SAW menjawab, "Tatkala kamu berjalan berhampiran kubur seorang kafir, beritakan kepadanya bahawa dia di dalam neraka.”

Hadith yang diriwayatkan dari Sa’ad ibn Waqqas ini secara jelas menerangkan bahawa lelaki yang bertanya soalan kepada Rasulullah SAW ini adalah seorang badwi. Disebabkan oleh badwi tersebut dikhuatiri akan murtad kerana imannya belum mantap, kefahamannya mengenai Islam masih cetek. Kerana itu, secara psikologi Rasulullah SAW menjawab sedemikian.

Para ulama menyatakan bahawa lafaz “Abi” di dalam riwayat Muslim bukanlah ditujukan kepada Abdullah kerana tradisi masyarakat Arab ialah mereka memanggil ayah, bapa saudara dan datuk dengan gelaran “Abi”. Ini yang harus difahami dengan jelas oleh para penafsir hadith.

RUMUSAN

Jika diteliti kesimpulan yang diberikan oleh pendakwah dari IPTS itu, beliau menegaskan bahawa berdasarkan hadith-hadith sahih yang dipetik dari Bukhari dan Muslim, jelaslah ibu bapa Nabi meninggal dunia berstatus kafir. Walaupun hadith tersebut sahih dari segi sanadnya tetapi jumhur ulama berpendapat bahawa teks hadith ini tidak boleh difahami secara zahir semata-mata. Ia adalah suatu yang biasa berlaku ketika penafsir berinteraksi dengan hadith. Bukan hanya kesahihan sanad menjadi penentuan hukum daripada sesuatu hadith. Terdapat juga kaedah-kaedah tertentu dalam memahami teks hadith itu sendiri yang perlu dipatuhi.

Berdasarkan kaedah-kaedah dalam memahami sesuatu teks hadith, jelaslah bahawa penafsiran hadith di atas tidak mendokong kesimpulan bahawa ibu dan bapa Nabi SAW kufur dan diazab. Pertamanya, makna zahir hadith ini tidak boleh diterima kerana ia bertentangan dengan nas-nas al-Quran. Antaranya, ayat-ayat yang mensabitkan bahawa Nabi SAW adalah berasal daripada keturunan yang mulia dan terpelihara seperti dalam Surah al-Syu’ara' 26 : 219 yang bermaksud, "dan (Allah melihat) pergerakanmu di antara orang-orang yang sujud". Ibnu 'Abbas r.hu, seperti yang diriwayatkan oleh al-Bazzar, al-Tabrani dan Abu Nuaim serta dalam tafsir al-Tabari dan al-Qurtubi, berpendapat bahawa ayat ini bermaksud bahawa Nabi SAW telah berpindah dari satu sulbi ke satu sulbi di kalangan nenek moyang yang sujud dan beriman.

Maksud zahir hadith ini juga bertentangan dengan nas-nas al-Quran.

Hal ini menurut satu kaedah bahawa Allah SWT tidak akan mengazab sesuatu kaum sebelum dikirimkan para rasul-Nya untuk menyampaikan agama yang benar. Lihat al-Qur’an Surah al-Isrā' 17 : 15, Surah al-An’ām 6 : 131, Surah al-Syu’arā' 26 : 208 dan Surah al-Nisā' 4 : 165. Terdapat pula ayat-ayat yang menafikan bahawa terdapat rasul yang dikirim kepada kaum Nabi Muhammad S.A.W. sebelum kebangkitan Baginda. Lihat juga Surah Sabā' 34 : 44 dan Surah al-Qasas 28 : 46. Maka kesimpulan yang lebih tepat adalah kedua-dua ibu dan bapa Nabi SAW sama ada beriman dengan peninggalan risalah rasul-rasul yang terdahulu ataupun tergolong dalam kalangan Ahlul Fatrah, iaitu mereka yang berada di zaman yang tiada rasul, menyebabkan mereka secara prinsipnya tidak akan diazab.

Adalah menjadi suatu kewajipan bagi semua umat Islam termasuk para pendakwah hendaklah meneliti sesuatu hukum itu dengan mendalam dan mengambil kira kesan positif terhadap umat Islam sejagat. Pandangan yang bersifat membina kekuatan umat Islam lebih afdal berbanding mengeluarkan sesuatu kenyataan yang bersifat merendahkan maruah umat Islam di kalangan bukan Islam. Adalah lebih baik dan berakhlak dengan mencontohi akhlak seperti yang ditunjukan dalam al-Qur`an. Jika diteliti dalam al-Qur`an, terdapat satu ayat berbunyi dengan maksudnya “Sesungguhnya mereka yang menyakiti Allah dan Rasul-Nya, mereka dilaknat oleh Allah di dunia dan akhirat serta disediakan bagi mereka azab yang menghinakan.”

Dalam satu kenyataan yang lain disebut : Dan tiadalah perkara yang lebih menyakitkan Rasulullah SAW selain menyatakan bapa Baginda diazab di dalam neraka. Berdasarkan maksud ayat di atas dapatlah difahamkan bahawa umat Islam diperintahkan supaya sentiasa menjaga adab dan menghormati Nabi SAW dan ahli keluarga termasuk kedua ibu bapanya.

Umat Islam tidak dibenarkan untuk menyakiti hati Rasulullah SAW dengan mengeluarkan apa-apa kenyataan sama ada secara tulisan mahupun secara lisan. Adalah amat tidak beradab bagi orang yang sanggup mengeluarkan kata-kata yang secara langsung menyakiti ibu bapa Rasulullah SAW dengan berpandukan hadith-hadith seperti yang dinyatakan di atas.

Justeru, JAIS berpandangan, ibubapa Rasulullah SAW mati dalam keadaan tidak diazab dan tidak dimasukkan dalam neraka kerana berpandukan ayat al-Qur`an Surah Al-Isra 17 : 16 yang maksudnya : “Dan Kami tidak akan mengazab seseorang pun kecuali telah sampai padanya utusan (dakwah) dan dia enggan menerima”.

Dalam istilah yang lebih mudah difahami, dapat dikatakan bahawa kedua ibubapa Nabi Muhammad iaitu Aminah dan Abdullah termasuk dalam golongan ahli fatrah iaitu golongan manusia yang tidak sampai dakwah dan golongan tersebut tidak diazab oleh Allah SWT. Sementara itu, kebanyakan ulama Shafie berpendapat bahawa ibubapa Nabi dan ahli keluarganya sebelum kedatangan Islam, adalah berpandukan kepada agama al-Hanifiyyah dan tiada bukti mereka menyembah berhala. Sila lihat Fatwa Mantan Mufti Mesir Asy-Syeikh Muhammad Bakhit al-Muti’iy dalam Al-Fatawa Al-Islamiyyah, 1982.

PENUTUP

Adalah dicadangkan supaya umat Islam tidak membincangkan hadith-hadith yang menjurus kepada timbulnya isu percanggahan pendapat di kalangan para ulama secara terbuka. Dikhuatiri ianya boleh memberi impak negatif terhadap masyarakat awam yang kurang memahami tentang percanggahan pendapat tersebut.

Perbincangan ilmiah berkaitan sesuatu hadith secara tertutup sama ada di kalangan pelajar atau golongan akademi adalah sesuatu yang amat digalakkan, tetapi perbincangan secara terbuka khususnya melalui media massa seperti surat khabar dan sebagainya tidak digalakkan dan hendaklah dihentikan serta merta!

Semua pihak hendaklah berhati-hati dengan mana-mana media yang didapati mempunyai tendensi yang kuat bagi membuka ruang dan peluang memperagakan lslam dengan permasalahan remeh temeh dan sensitif.

Disediakan oleh,
Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan
Jabatan Agama Islam Selangor
Pada: 3 Jun 2010 / 20 Jamadilakhir 1431H

اللــــــــهم صل على سيدنا محمد وعلى آل سيدنا محمد


13 Ramadhan 1432H

No comments:

Post a Comment