biodata

Monday, November 4, 2013

Amalan Perlindungan Diri (Ayat al-Kursi)

Amalan Perlindungan Diri (Ayat al-Kursi) 
Maksudnya: Dengan nama Allah, Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

“Allah, tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia Yang Hidup kekal lagi terus menerus mengurus (makhluk-Nya); tidak mengantuk dan tidak tidur. Kepunyaan-Nya apa yang di langit dan di bumi. Tiada yang dapat memberi syafaat di sisi Allah tanpa izin-Nya? Allah mengetahui apa-apa yang di hadapan mereka dan di belakang mereka, dan mereka tidak mengetahui apa-apa dari ilmu Allah melainkan apa yang dikehendaki-Nya. Kursi Allah meliputi langit dan bumi. Dan Allah tidak merasa berat memelihara keduanya, dan Allah Maha Tinggi lagi Maha Besar.” (Surah al-Baqarah: 255)

Kelebihan Ayat al-Kursi
1. Baca di saat keluar rumah, 70,000 malaikat akan menjaga kita dari semua sisi
2. Baca di saat masuk rumah, kemiskinan tidak akan turut serta masuk
3. Baca setelah berwuduk, darjat kita akan dinaikkan 70 tingkat
4. baca di saat hendak tidur, malaikat akan menjaga sepanjang malam
5. Baca setelah solat, maka jarak antara kita dan syurga hanyalah kematian.

Amalan Ayat al-Kursi menjelang tidur

Rasulullah SAW pernah memberi tugasan kepada  Abu Hurairah r.hu untuk menjaga gudang zakat di bulan Ramadhan. Tiba-tiba muncullah seseorang, lalu mencuri segenggam makanan. Namun berkat kepintaran Hurairah menyebabkan pencuri itu kemudian berjaya ditangkap. "Akan aku adukan kamu kepada Rasulullah SAW," gertak Abu Hurairah. Betapa takutnya pencuri itu setelah mendengar ancaman Abu Hurairah itu, hingga kemudian dia pun merayu dan memujuk: "Saya ini orang miskin, keluarga tanggungan saya ramai, sementara saya sangat memerlukan makanan."

Maka, pencuri itu pun dilepaskan. Fikirnya, bukankah zakat itu pada akhirnya akan diberikan kepada fakir miskin? Hanya caranya sahaja yang berbeza. Keesokan harinya, Abu Hurairah melaporkan kejadian itu kepada Rasulullah SAW. Maka bertanyalah Baginda: "Apa yang dilakukan kepada tawananmu semalam, ya Abu Hurairah?" Beliau mengeluh, "Ya Rasulullah, dia orang yang miskin, keluarganya ramai dan sangat memerlukan makanan," jawab Abu Hurairah. Lalu diterangkan pula olehnya, bahawa beliau berasa kasihan kepada pencuri itu, lalu dilepaskannya. "Dia berbohong," kata Nabi Muhammad SAW: "Malam nanti dia akan datang lagi." Oleh kerana Rasulullah SAW berkata demikian, maka kawalan Abu Hurairah diperketatkan, dan kewaspadaannya pun ditingkatkan.
Memang benar, malam itu pencuri itu kembali lagi, lalu mengambil makanan seperti mana hari sebelumnya. Dan kali ini dia pun tertangkap. "Akan aku adukan kamu kepada Rasulullah SAW," ancam Abu Hurairah, sama seperti kelmarin. Dan pencuri itu pun sekali lagi meminta ampun, "Saya orang miskin, keluarga saya ramai. Saya berjanji esok tidak akan kembali lagi."

Dek kelembutan hatinya, Abu Hurairah berasa kasihan mendengar rayuan pencuri itu, dan kali ini dia dilepaskan lagi. Pada paginya, kejadian itu dilaporkan kepada Rasulullah SAW, dan beliau pun ditanya seperti sebelumnya. Dan setelah mendapat jawapan yang sama, sekali lagi Rasulullah SAW menegaskan: "Pencuri itu berbohong, dan malam nanti dia akan kembali lagi."

Malam itu Abu Hurairah berjaga-jaga dengan kewaspadaan dan kepintarannya. Mata, telinga dan perasaannya dipasang baik-baik. Diperhatikannya dengan teliti setiap gerak-geri di sekelilingnya. Sudah dua kali dia dibohongi oleh pencuri tersebut. Jika pencuri itu benar-benar datang lagi seperti diperkatakan oleh Rasulullah SAW dan beliau berjaya menangkapnya, beliau telah bertekad tidak akan melepaskannya kali ini. Hatinya sudah tidak sabar lagi menunggu-nunggu kedatangan pencuri durjana itu. Beliau berasa menyesal melepaskan pencuri tersebut begitu sahaja sebelum diheret ke hadapan Rasulullah SAW? "Awas!" katanya dalam hati. "Kali ini tidak akan ku berikan kemaafan."

Malam semakin larut, suasana sudah sepi, ketika tiba-tiba muncul satu bayangan yang datang menghampiri longgokan makanan yang beliau jaga. "Wah, tepat sekali, dia datang lagi," katanya dalam hati. Dan tidak lama kemudian pencuri itu telah bertekuk lutut di hadapannya dengan wajah ketakutan. Diperhatikannya benar-benar wajah pencuri itu. Ada semacam kepura-puraan pada gerak-gerinya. "Kali ini kau pastinya akan ku adukan kepada Rasulullah SAW. Sudah dua kali kau berjanji tidak akan datang lagi ke mari, namun ternyata kau berbohong lagi.” Pencuri itu merayu, ”Tolong lepaskan saya." Namun, dari tangan Abu Hurairah yang menggenggam erat tangan si pencuri itu dapat difahami, bahawa kali ini dia tidak akan terlepas lagi. Maka, dengan rasa putus asa akhirnya pencuri itu berkata, "Lepaskan saya, akan saya ajari tuan beberapa kalimat yang sangat berguna."

"Kalimat-kalimat apakah itu?" Tanya Abu Hurairah dengan rasa ingin tahu. "Bila tuan hendak tidur, bacalah ayat al-Kursi: Allaahu laa Ilaaha illaa Huwal-Hayyul Qayyuuumu….. Dan seterusnya sampai akhir ayat. Maka tuan akan selalu dipelihara oleh Allah, dan tidak akan ada syaitan yang berani mendekati tuan sampai ke pagi." Maka pencuri itu pun dilepaskan oleh Abu Hurairah. Agaknya naluri keilmuannya lebih menguasai jiwanya sebagai penjaga gudang.


Dan keesokan harinya, beliau kembali menghadap Rasulullah SAW untuk melaporkan pengalamannya yang luar biasa tadi malam. Ada seorang pencuri yang mengajarinya kegunaan ayat al-Kursi. "Apa yang dilakukan oleh tawananmu semalam?" tanya Rasulullah SAW sebelum Abu Hurairah sempat menceritakan segalanya. "Dia mengajariku beberapa kalimat yang katanya sangat berguna, lalu saya lepaskan dia," jawab Abu Hurairah. "Kalimat apakah itu?" Tanya Nabi Muhammad SAW. Katanya: "Kalau kamu tidur, bacalah ayat al-Kursi: Allaahu laa Ilaaha illaa Huwal-Hayyul Qayyuuumu….. Dan seterusnya sampai akhir ayat. Dan dia katakan pula: Jika engkau membaca itu, maka engkau akan selalu dijaga oleh Allah, dan tidak akan didekati syaitan hingga pagi hari."


Mendengar cerita Abu Hurairah itu, Nabi Muhammad SAW berkata: "Pencuri itu telah berkata benar, sekalipun sebenarnya dia tetap pendusta." Kemudian Nabi Muhammad SAW  bertanya pula: "Tahukah kamu, siapa sebenarnya pencuri yang bertemu denganmu setiap malam itu?" "Entahlah." Jawab Abu Hurairah. "Itulah syaitan." jawab Nabi Muhammad SAW.